Semuanya Untukmu

It’s hard to say what it is I see in you
Wonder if I’ll always be with you
But words can’t say, And I can’t do
Enough to prove,
It’s all for you.

Aku dan kemaskini pagi Sabtu yang rare. Yeah!

Tengah buat kerja sambil melayan jiwa retro, macam biasa. Versi akustik Sister Hazel ni memang gempak. Buatkan aku bersemangat.

“Deadline dan cinta, akan aku kejar kau laju-laju!”

Nanti P

Refleksi purnama di permukaan laut bagaikan argentum lebur, mengalir ke rohnya — menyaduri gelisah. Kerlipan bintang tiba-tiba luruh menjadi renyai. 

Dalam posisi fetal, Penelope menyelimuti diri dengan pario yang sudah terurai ikatan dari pinggang. Buaian rajut kelihatan seperti membuntinginya. Bayu yang tipis dan dingin pula mendodoinya. Ingatannya pulang ke Perancis dalam sepejam mata. Ragu demi ragu lupus, nekadnya muktamad.

Dari celah debur ombak, suatu susuk muncul mendaki pantai.

“Vous êtes venu, mon amour!”

Penelope menemani kekasihnya sehingga awal pagi sebelum berat melepaskannya pergi. Telur-telur cinta mereka akan menetas selang dua purnama lagi.

Di pesisir itu, Penelope mengeramkan takdirnya.

Susur M

Dari atas pelantar bot, di bawah terik suria Phnom Penh, ketakjuban itu ketara. Pertembungan empat batang sungai di muara, masing-masing membawa keruh berbeza tona. Tidak bercampur-aduk. Tenang.

Kontras.

Perlahan-lahan, Mukhlis mengeluarkan sekeping keratan akhbar yang tersisip di dompetnya sejak setahun lalu. Seimbas dibacanya, lalu dilemparkannya ke arus Mekong.

“Maafkan aku…” Entah kali ke berapa juta tercetus ungkapan itu di hatinya.

Petang itu, zulmat kelodak jiwa Mukhlis tetap tidak terbilas. Masih berpusar rasa bersalah. Yang menjadi rahsia abadi antara dia dan hanya Tuhan.

Dan kelibat gadis Kemboja yang dilanggar lari pada suatu malam di pinggir bandar Muar terus menyelinapi tidur dan jaganya.

Sedang Bermisi, Di Kemboja

Sila jawab soalan seperti yang diajukan dalam lagu.

Sedang apa dan di mana?

Sila tinggalkan respon di sini, dinding Facebook, Twitter, SMS, emel, YM ataupun Whatsapp. Yang mana satu lebih menyenangkan. Ini adalah aktiviti random yang bermakna, if you know what I mean.

Okay, see you when I see you.

* Ini adalah entri terjadual.

Fetish T

Fabrik putih berenda itu direnyuk-renyuk dan dihidunya. Semerbak bau detergen berperisa ros. Dadanya berombak.

Siang tadi, ampaian rumah Mak Long Piah jadi sasaran. Dua minggu yang lepas, kepunyaan sepupunya Hani jadi bahan. Tabiatnya sukar dikekang. Fabrik-fabrik putih berenda yang dicuri sekitar kampung memenuhi gobok buruk peninggalan arwah ibunya.

Menjelang tengah malam, ritualnya bermula. Selepas lampu kamar dipadam, di atas katil, dia menyarung fabrik putih berenda itu ke kepala. Lalu dia baring. Tangan dipekup ke dada. Mata pejam celik, berkaca.

“Ibu, Tijah rindu ibu sangat-sangat…” rintihnya.

Malam itu, dia sekali lagi tidur bertemankan foto ibu dan berselimutkan telekung hingga ke pagi.